Sunday, January 16, 2011

INDIE SCENE KAT MALAYSIA


Dewasa ini, industri muzik tempatan seringkali di warnai oleh kumpulan muzik anak-anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai kelompok indie. Peminat-peminat muzik tanah air juga tidak lekang menyebut nama artis indie kegemaran mereka. Begitu juga dengan media yang banyak paparan terkini mereka beralih kepada muzik indie selepas keghairahan artis realiti makin menurun.

Namun, apakah itu indie? Indie adalah singkatan kepada perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud independent atau bebas. Ini membawa erti artis-artis indie tidak mahu terikat dengan apa jua kontrak yang mereka rasakan tidak sesuai atau yang lebih jelas lagi, mereka ingin berkarya mengikut acuan mereka sendiri.

Di Malaysia, kebanyakan artis indie terdiri daripada mereka yang menyanyikan karya mereka didalam bahasa Inggeris. Sejak awal tahun 90-an lagi telah wujud banyak band-band indie di Malaysia, tetapi kehadiran mereka tidak mendapat liputan media yang meluas.

Sehinggalah apabila trend band-band indie yang menukar lirik mereka kepada bahasa Melayu di terima oleh media massa, segalanya berubah. Ledakan ini terus membuatkan satu demi satu band-band indie mula mencipta nama dalam industri muzik tanah air. Perubahan lirik memberi impak yang besar kepada perjuangan band-band Indie untuk diterima di arus perdana. Kini nama seperti kumpulan Meet Uncle Hussain dan Hujan sudah menitip di bibir peminat industri muzik tempatan apabila lagu-lagu mereka menjadi hits.

Apakah pula yang membezakan artis indie dengan artis-artis yang lain? Artis indie dilihat lebih cenderung untuk menghasilkan sesuatu produk atau album di bawah kawalan mereka sendiri. Apa yang cuba disampaikan di sini ialah artis indie cuba untuk berlaku jujur didalam penghasilan produk mereka. Mereka zahirkan apa yang mereka inginkan dalam skala dan kawalan mereka sendiri. Muzik yang mereka pilih bukanlah di atas kehendak pasaran.

Di Barat, artis lebih cenderung untuk bergerak secara indie kerana pada pandangan mereka, syarikat rakaman dilihat sebagai entiti yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil kerahan karya artis.

Dengan bergerak secara indie, artis-artis ini dapat bebas untuk menentukan apa yang mereka mahu lakukan dalam muzik mereka. Begitu juga dengan syarikat rakaman, artis-artis Barat cenderung untuk menanda tangani kontrak dengan label yang juga bersifat indie yang mana keuntungan dibahagi secara adil. Bermakna tiada eksploitasi antara pengkarya dan pengedar produk.

Syarikat rakaman lebih bermatlamat kepada keuntungan semata-mata, manakala label indie kecil-kecilan ditubuhkan lebih bersifat atas dasar minat kepada muzik dan ingin membantu kumpulan-kumpulan muzik indie ini untuk didengari.

Bebas juga diasosiasikan dengan kebebasan memilih aliran muzik yang kumpulan itu ingin bawakan. Kebiasaannya ia menentang arus perdana. Namun atas kejujuran itulah mereka ini berjuang dengan menghasilan muzik dan lirik baru yang segar untuk santapan pendengar.

Dari segi penciptaan lagu, band-band indie lebih bersifat terbuka. Mereka lebih mudah untuk menyampaikan lagu-lagu mereka dengan cara mereka sendiri terutama penggunaan ayat yang dilihat lebih cenderung kepada penggunaan bahasa slanga. Lirik-lirik mereka juga bersifat protes selain daripada unsur-unsur kemanusiaan. Kebebasan berkarya sebeginilah yang dimahukan oleh band-band indie.

Kehadiran gaya muzik digital juga turut membantu perkembangan band-band Indie di dalam memperkenalkan karya-karya mereka tanpa perlu mengikat kontrak dengan syarikat rakaman. Muzik digital dilihat sebagai platform terbaik sumber promosi kepada band-band Indie.

Apa yang diperkatakan sebagai indie bukanlah satu genre muzik yang baru, tetapi adalah satu pendekatan dan konsep baru didalam industri muzik tempatan. Kebebasan yang diperjuangkan oleh band-band indie ini adalah untuk kebaikan dan kejujuran mereka dalam berkarya. Apa yang mereka mahukan adalah kawalan sepenuhnya ke atas karya-karya mereka tanpa dieksploitasi oleh mana- mana pihak terutama syarikat rakaman.

0 Pengkritik Jemputan:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Designed by Mohamad Saiful Amin | Bloggerized by Saiful - Premium Blogger Themes | Enterprise Project Management